Harga emas dijangka pecah rekod, naik 10 peratus lagi bulan depan

KUALA LUMPUR: Permintaan ke atas emas yang kukuh dijangka meningkatkan asas pelanggan Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) kepada 2.3 juta menjelang akhir tahun ini daripada 2.2 juta pada ketika ini.

Kenaikan harga global bagi komoditi itu turut menggalakkan syarikat perdagangan emas itu untuk mempertimbangkan hasrat mengembangkan operasi ke Indonesia, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memperkenalkan mesin juruwang automatik (ATM) yang mengeluarkan emas fizikal.

Pengerusi Eksekutif Public Gold, Datuk Seri Louis Ng, berkata syarikat itu menjangkakan kira-kira 50,000 pelanggan baharu di seluruh Malaysia setiap bulan hasil jualan runcit melalui mesin ATM.

Beliau berkata, harga emas dijangka meningkat sebanyak 10 peratus lagi hingga memecah rekod pada September ini berbanding harga semasa AS$3,370 setiap auns troy, dengan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) akan menurunkan kadar faedah.

Perbezaan kadar faedah yang kecil antara dolar Amerika Syarikat (AS) dan ringgit akan merangsang permintaan terhadap emas.

Emas kini berlegar pada AS$3,370 setiap auns troy, meningkat 28 peratus daripada AS$2,630 pada awal tahun. Ng berkata, majoriti pelanggan Public Gold yang mula melabur dalam emas pada 2008 terdiri daripada mereka yang berpendapatan sederhana. 

Mereka memilih untuk beralih melabur dalam emas kerana melihatnya sebagai satu bentuk komoditi yang selamat.

“Setiap hari, kami menyaksikan kira-kira 1,000 hingga 1,500 pelanggan baharu mendaftar, yang secara kasarnya meningkat sehingga kira-kira 50,000 pelanggan sebulan. Menjelang akhir tahun ini, kami menjangkakan ia akan mencapai sasaran sebanyak 2.3 juta pelanggan,” kata Ng. 

Beliau yang juga Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA) berkata, dagangan emas bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan, dirangsang oleh permintaan runcit yang meningkat dan keinginan untuk mengekalkan lebih banyak nilai dalam negara.

Selain itu, Ng berkata harga emas melonjak sebanyak 200 peratus sejak 2019, menjadikannya kelas aset yang semakin menarik, terutamanya bagi pengurus dana institusi yang kini memperuntukkan sebahagian daripada portfolio pelaburan mereka kepada emas. 

Menurutnya, pelanggan turut menyumbang dengan ketara kepada nilai dagangan syarikat, yang kemudiannya menyemarakkan pertumbuhan antarabangsa. 

Bagi memenuhi pemintaan yang semakin meningkat itu, Public Gold mengimport antara 50 hingga 150 kilogram emas bagi setiap penghantaran, terutamanya dari hab perdagangan emas di Dubai, Singapura dan Hong Kong.

Setakat ini, Ng berkata Public Gold mengendalikan sebanyak 18 cawangan dan kira-kira 100 ATM di seluruh Malaysia.

Ia melancarkan ATM pendispesan emas pertamanya, dikenali sebagai Malaysia Gold ATM, di Menara Public Gold di Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur pada awal 2023, yang membolehkan pelanggan membeli jongkong emas fizikal dengan mudah. 

Semua ATM ini membolehkan pelanggan mengeluarkan jongkong emas yang dimeterai dan diperakui menerusi aplikasi mudah alih Public Gold.

Ia juga membolehkan pengguna membeli, menjual dan menyimpan emas serta perak dengan selamat melalui Program Pengumpulan Emas (GAP).

Menerusi GAP, pelanggan boleh mengumpul emas dalam jumlah yang kecil. Apabila ia mencapai jumlah tertentu, seperti lima gram, 10 gram atau 20 gram, mereka boleh menukarnya menjadi jongkong emas fizikal yang boleh dikeluarkan daripada ATM yang berfungsi seperti mesin layan diri. 

-BERNAMA

social Media :
Dealer Public Gold Malaysia

Muhammad Hafiz Hakimi Bin Mohd Zuki